Isnin, April 19, 2010

Ummi, Maafkan Sarah!

“Mia benci! Mia benci ummi! Ummi selalu marah Mia! Apa sahaja yang Mia buat, ummi mesti tegur! Dengar radio salah, tengok tv pun salah! Mia tak nak duduk rumah ummi dan abang lagi! Mia nak balik rumah papa dan mama!” bentak Mia Sarah. Pintu biliknya dihempas sekuat hati.

Mia Sarah menangis semahu-mahunya. Hatinya sebal dimarahi dihadapan abang. ‘Sukalah tu, tengok aku kena marah! Aku benci!’ ngomel Mia Sarah sambil mengesat air mata. Bilik yang pernah dihuni dulu, kini seolah-olah tidak membawa apa-apa makna pada Mia Sarah. Sejak berumur 5 tahun, ummi dan papanya berpisah. Dan sejak itulah Mia Sarah tinggal bersama papa dan mama barunya.


Mia Sarah lebih senang dengan mama berbanding ummi. Mama tidak pernah kisah apa yang dilakukannya. Mia Sarah boleh dengar radio sekuat-kuat hatinya, menonton televisyen sehingga pagi, atau bangun tidur tengahari. Mama tidak pernah tegur. Masa mama baru kahwin dengan papa, mama pernah tegur kelakuan Mia Sarah, tetapi akibatnya, teruk mama dimarahi papa.

Sejak itu, mama tidak pernah menegur Mia Sarah. Mia Srah tersenyum bangga. Walaupun papa sudah berkahwin baru, dan ada seorang cahaya mata, tetapi dirinya tetap nombor satu di mata papa. Mia Sarahlah intan, Mia Sarahlah permata. Jangan ada yang pandai-pandai menyakiti hati puterinya itu, kalau tidak, papa mesti akan mengamuk.

Tapi, sejak kematian papa, Mia Sarah keseorangan. Mia Sarah tidak rapat dengan adik Lia. Mia Sarah pun jarang bercakap dengan mama. Tapi, layanan mama terhadapnya tak pernah berubah. Mama baik. Tak macam ummi. Ada sahaja yang Mia Sarah buat tidak kena dimatanya. Ummi kolot. Abang pun sama. Patutlah papa benci ummi.

Mia Sarah ingat lagi, masa papa baru kahwin dengan mama, Mia Sarah pernah bertanya tentang ummi. Papa marah sangat. Papa tak bagi Mia Sarah sebut langsung pasal perempuan itu. Sepanjang Mia Sarah membesar, tidak pernah pun Mia Sarah mendengar papanya memuji wanita yang melahirkannya. Sebaliknya, setiap kali terkeluar cerita mengenai ummi, semuanya yang buruk-buruk sahaja. Mia Sarah percaya setiap apa yang papa katakan.

Kalau tidak, tak kan papa tinggalkan ummi. Papa kata ummi tak pandai jaga rumahtangga. Asyik melawan kata-kata papa. Selalu menyakitkan hati papa. Mia Sarah benci ummi. Kalaulah mama tak pujuk Mia Sarah untuk menziarah ummi hari itu, Mia Sarah tak kan datang rumah buruk ummi ini! Mia Sarah tak kan pijak tempat yang macam penjara ini! Mia Sarah benci!

“Sarah, mari makan, sayang. Ummi masak special untuk Sarah hari ni,” lembut ummi memanggil. Mata ummi masih setia pada pintu bilik anak gadisnya itu.

“Sarah, jangan macam ni, sayang. Mari makan sekali dengan ummi dan abang. Nanti perut Sarah masuk angin, Sarah jugak yang susah. Mari, nak,” panggil ummi tidak jemu.

“Dahlah, ummi. Daripada papa ada, sampai papa dah tak ada, perangai Sarah memang macam tu. Sarah tak kan berubah, ummi. Papa dah terlalu banyak meracuni fikiran dia,” abang bersuara lirih. Pedih hati lelakinya melihatkan insan yang bersusah payah membesarkan dirinya dilayan sebegitu rupa. Papa terlalu kejam.

“Abang, jangan cakap macam tu. Papakan dah tak ada. Jangan ungkit hal lama. Sarah tu baik budaknya. Dia tak biasa dengan kita lagi. Sebab tu perangai dia keras sikit. Abang layan Sarah baik-baik, mesti lembut hati dia nanti. Ye, sayang?” ummi tersenyum pahit. Ibu mana tak bersedih jika anak yang dikandungnya bersikap kurang ajar dengannya. Ibu mana yang rela dirinya diperlakukan seperti insan kotor yang langsung tidak layak mendapat sedikit penghormatan daripada sang anak. Tapi ummi tetap tersenyum menyembunyikan luka dihati.

Mia Sarah keluar daripada biliknya dengan berpakaian cantik. Mata ummi dan abang yang memandangnya tidak dipedulikan. Nafsunya mati untuk makan dirumah.

“Sarah, tak dengar ke ummi panggil makan? Ni nak ke mana pula?” abang cuba bersuara lembut tetapi tegas.

“Dengar. Orang malas nak makan kat rumah. Bukan sedap pun. Ummi dengan abang kan benci Mia, entah-entah ummi dengan abang letak racun dalam makanan tu. Nak Mia mati. Mia nak makan kat luar,” Mia Sarah menjeling abangnya lantas mencapai duit yang ditinggalkan ummi di atas televisyen.

“Sarah! Jangan kurang ajar! Ummi ni, ummi Sarah! Orang yang dah bertarung nyawa nak lahirkan Sarah! Abang ni, abang Sarah! Belajar hormat orang tua! Papa tak pernah ajar ke?!” hilang suaranya yang lembut selama ini. Abang mengetap bibir. Mia Sarah betul-betul dah melampau!

“Kau dengan ummi, tak ada kaitan dengan aku! Sejak papa tinggalkan ummi, kau berdua bukan siapa-siapa dalam hidup aku! So, jangan pandai-pandai nak ajar aku! And, don’t you ever say anything about papa again!” Mia Sarah berpaling untuk keluar. Namun, langkahnya terhenti. Tangannya sakit direntap daripada belakang.

“Sarah, cakap apa?! Abang tak dengar?! You are too much, Sarah. Too much! Ini ke balasan yang patut ummi terima?! Walau berjuta kali Sarah menafikan hubungan darah antara ummi dengan Sarah dan Sarah dengan abang, pertalian ni tak kan terputus sampai bila-bila, Sarah! Sampai bila-bila! Dan setiap dosa daripada kata-kata dan perbuatan Sarah terhadap ummi selama ini, Sarah akan bawa sampai Sarah mati! Ingat tu!”

“Sarah peduli apa! Macamlah Sarah je berdosa! Papa, sampai mati pun, benci dekat korang tau! Syurga seorang isteri pada suaminya! Selagi papa tak maafkan, ummi pun berdosa jugak lah! Kau dengan perempuan tua ni…” kata-kata Mia Sarah terhenti setakat itu. Tangannya ditekupkan pada pipi yang berbekas akibat tamparan abang.

“Abang, Sarah! Cukuplah tu! Cukup!” Hanya air mata menjadi saksi betapa terlukanya hati seorang ibu mendengarkan pertengkaran dua orang anak kesayangannya.

Mia Sarah mengetap bibir. Pandangan matanya kabur dek air mata yang mula bergenang. Tanpa mempedulikan abang dan ummi, Mia Sarah keluar daripada rumah itu. Dalam hatinya Mia Sarah berjanji untuk membenci dua insan yang telah menghancur lumatkan hatinya. Mia Sarah berjanji!

Melihatkan kelibat adik kandungnya keluar, abang jatuh terduduk. Tangan yang menampar pipi gebu gadis itu masih merah dan perit. Air mata lelakinya menitis jua mengenangkan keterlanjuran sikapnya tadi. Ummi yang masih teresak-esak di pandang dengan penuh penyesalan. Tiada kata yang mampu di luahkan. Abang menghampiri tubuh ummi yang terhinjut-hinjut menahan tangis. Tangan ummi yang semakin dimamah usia digenggam erat.

“Abang minta maaf, ummi. Abang minta maaf,” pinta abang sambil mengucup tangan ummi. Air mata kedua beranak itu tidak pernah kering sejak papa menjatuhkan talak dulu. Ujian demi ujian, dugaan demi dugaan dan masalah demi masalah tidak henti-henti menimpa mereka. Namun abang dan ummi sabar dan tabah melaluinya kerana yakin, di sebalik semua kepayahan ini, pasti ada sinar yang menanti. InsyaAllah.

SETAHUN BERLALU

“Tingginya darjat seorang wanita dalam Islam, sehingga ada banyak hadis mengenainya. Lebih istimewa lagi jika seorang wanita itu hamil, maka dianugerahkan kepadanya pahala yang berganda-ganda. Ini menunjukkan betapa hebat dan besarnya pengorbanan seorang wanita yang bergelar ibu. Apabila seseorang perempuan mengandungkan janin dalam rahimnya,maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah mencatat baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan. Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah dan orang yang takutkan Allah, akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

Sebenarnya, banyak lagi hadis mengenai ibu. InsyaAllah, saya akan sambung lagi tajuk kita pada kelas berikutnya. Sesiapa yang berminat nak tau lagi, boleh datang ke bilik saya lepas ni. Assalamualaikum W.B.T,” panjang lebar Ustazah Humaira’ menerangkan sebelum menamatkan kelas mereka pada hari itu.

Mia Sarah termenung panjang. Ibu. Fikirannya tertumpu pada kata-kata Ustazah Humaira’ tadi. Entah kenapa, sejak akhir-akhir ini Mia Sarah menjadi lebih sensitif. Lebih-lebih lagi jika hal itu berkaitan ibu bapa. Mia Sarah teringatkan Qiamulail yang disertainya minggu lepas. Apabila kakak fasi menceritakan detik-detik kritikal seorang ibu melahirkan anaknya, Mia Sarah menangis. Menangis semahu-mahunya.

Mia Sarah teringatkan ummi yang sudah setahun tidak dihubungi. Rindunya pada wanita itu tidak pernah diluahkan kepada siapa-siapa. Malu. Mia Sarah sedar, sudah terlalu banyak dosanya pada ummi dan abang. Tapi, apa yang boleh dia lakukan? Untuk pulang menziarah keduanya, Mia Sarah malu! Malu dengan apa yang pernah dilakukan dulu.

Tangannya memegang kemas lipatan kertas berwarna biru lembut. Artikel yang diperolehinya semasa program Qiamulail minggu lepas benar-benar meruntun hatinya. Wajah ummi bermain-main di tirai matanya. Mia Sarah tidak pasti apa yang harus dilakukannya bagi melepaskan rindu yang semakin sarat dihati. Artikel itu dibaca lagi.

CINTA KASIH IBU

Ibu adalah insan yang paling mulia,
yang paling banyak menghabiskan masa
dengan anak-anak.

Ibulah yang mengandungkan kita
selama sembilan bulan sepuluh hari
dengan penuh sabar dan tabah.

Ibu jugalah yang
menanggung keperitan dan kesakitan sewaktu melahirkan.

Ibu yang menyusukan, memelihara dan melindungi kita.
Kasih ibu tiada tandingnya.

Kasihnya tetap abadi pada
kita. Kasihnya sampai ke mati.
Ibu adalah segala-galanya.

Seorang ibu, anak-anaknya adalah manusia yang paling
disayangi dan dicintai sejak lahirnya kita ke dunia
hingga akhir hayat kita.

Biarlah ibu terkorban,
biarlah ibu tidak makan,
biarlah ibu menderita,
biarlah ibu tidak tidur nyenyak di malam hari dan
biarlah ibu banyak menangis,
tetapi lidah ibu tidak
pernah kering mendoakan moga anaknya bahagia di dunia
dan akhirat.

Kelahiran kita telah disambut dengan seribu harapan
agar anaknya nanti akan menjadi insan yang beriman dan
anak yang soleh.

Dengan iman sajalah si anak dapat
melaksanakan titian hidupnya dengan sebaik-baiknya
yang mempunyai jiwa perjuangan untuk menegakkan syiar Islam.
Begitulah gunung harapan ibu kepada kita.
Harapan ibu merupakan doa yang tidak ada hijab dan
pasti dikabulkan Allah swt.

Di awal kelahiran kita, ibu
membisikkan ke telinga anaknya doa harapan hinggalah
kita memahami hasrat ibu yang sebenar.
Hasratnya terus dinyatakan kepada kita, sepanjang hayat ibu
selagi nyawa di kandung badan.

Tidak ada seorang ibu bila lahir sahaja anaknya ke
dunia ini membisikan harapan yang tidak baik atau
buruk pada anaknya.

Ertinya, ibu mana yang tidak mahu
melihat anak-anaknya menjadi orang beriman dan bertakwa?.
Ibu mana yang tidak mahu anak-anaknya
menjadi manusia yang berjaya dan berguna
kepada agama, bangsa dan negara?
Ibu mana yang tidak mahu melihat anaknya yang soleh?

Ibu mana yang sanggup melihat anak-anaknya gagal
dalam pelajaran ( dunia dan akhirat )
lebih-lebih lagi gagal dalam hidup?
Ibu mana yang dapat menahan airmata
apabila melihat anak-anaknya menjadi sampah masyarakat?
Ibu tidak pernah berhenti
mendoakan semoga anaknya bahagia di dunia dan akhirat.

Sesungguhnya,
tidak ada seorang ibu yang menginginkan
anak-anaknya menjadi manusia yang derhaka dan
pengkhianat bukan sahaja padanya,
bahkan kepada agama tercinta.


Mia Sarah menyeka air mata yang mula berlinangan. Hatinya merintih setiap kali matanya menelusuri bait-bait kata yang terlakar pada kertas itu. Benar! Ibu mana yang menginginkan anaknya menjadi manusia yang derhaka! ‘Biarlah ibu banyak menangis, tetapi lidah ibu tidak pernah kering mendoakan moga anaknya bahagia di dunia dan akhirat.’ Mia Sarah rasa terpukul! Telinganya masih terngiang-ngiang doa yang dilafazkan ummi ketika solat tengah malam.

Ummi, maafkan Sarah! Sarah banyak buat dosa dengan ummi dan abang! Maafkan Sarah, ummi! Sarah menyesal! Sarah sayangkan ummi dan abang! Hatinya menjerit dan menangis mengenangkan segalanya. Puas berfikir, Mia Sarah nekad. Hujung minggu ini, ummi dan abang akan diziarahi. Tangan mereka akan dikucup penuh penyesalan. Mia Sarah yakin, hidup mereka akan lebih harmoni selepas ini. Mia Sarah mula bernafas tenang. Bibirnya mengukirkan senyuman penuh pengharapan. Moga masih ada peluang dan sinar buat mereka tiga beranak. ‘Sarah sayang ummi dan abang.’ Hatinya berbisik syahdu.

***
NOTA KAKI OLEH CB

karya ni pernah CB kongsikan dekat iluvislam. try la cari kalau rajin. lepas tu beritahu CB boleh CB hyperlink kan. :)

'diari kasih firdaus' dan 'kebahagiaan itu milik kita' pun pernah publish kat penulisan2u. Adus...merata2 la CB ni. hehe.

Tiada ulasan:

Daisypath Anniversary tickers