Isnin, April 19, 2010

Rahsia Hati

“Awak ada nampak dia hari ni?” tanya Dania sebaik sahaja pensyarah mereka menamatkan kuliah.

“Dia? Siapa dia?” jawab Haziqah acuh tak acuh. Nafasnya dihela perlahan. Letih dengan pertanyaan Dania yang tidak pernah berubah.

“Alahai buat-buat tak tau pula. Abang awaklah. Abang Ustaz,” Dania menyiku sahabatnya sambil mengenyitkan matanya.

“Saya mana ada abang. Sayakan anak sulung,” dalih Haziqah. Tangannya lincah mengemas nota-nota kuliah. Bila agaknya semua ini akan reda? Haziqah menggeleng perlahan.

“Iqa, tu abang Ustaz awak kan?” kata Dania sambil jarinya menghala tepat ke arah sekumpulan pemuda yang sedang rancak bersembang.


Haziqah tersentak. Benarkah dia? Haziqah teragak-agak untuk berpaling ke arah yang ditunjukkan Dania. Hatinya berdebar-debar. Haziqah bingung. Kenapa kalut sangat jadinya? Setelah yakin mampu mengawal air muka, Haziqah berpaling.

“Hahahaha. Saya tipu awaklah. Tadi nampak macam menyampah je dengar saya sebut pasal dia. Rupanya rindu juga ye?” sambut Dania dengan tawa yang tidak sudah.

“Dania! Teruklah awak ni! Saya kata saya tak suka, saya tak sukalah! Awak tak faham ke?!”

“Okey, okey. Saya tak buat dah. Janganlah sensitive sangat, Iqa. Awak ni, beranginlah. Rileks, okey?” ujar Dania cuba memujuk sahabatnya yang mula panas.

Haziqah benar-benar terpukul dengan tindakan Dania tadi. Sampai hati Dania buat begini. Haziqah tidak tahu apa yang telah terjadi pada dirinya. Jika berkaitan dengan lelaki tersebut, hatinya mudah sangat terguris. Mata juga terlalu mudah bergenang. Kenapa dengan aku ni?

Langkahan kakinya dipercepatkan. Haziqah tidak kuat untuk terus berpura-pura lagi. Dania tidak seharusnya tahu apa yang dirasainya kini! Dania tidak seharusnya nampak kegalauan hatinya disebabkan lelaki itu! Tidak! Haziqah berlari meninggalkan Dania terpinga-pinga.

Pintu tandas ditutup dan dikunci. Haziqah tersandar. Matanya merah menahan air mata daripada mengalir. Seminit…dua minit…tiga minit berlalu. Ketukan pintu bertalu-talu daripada Dania membuatkan Haziqah mengunci rapat mulutnya. Dania memanggil namanya berkali-kali. Kerisauan jelas tergambar melalui suara dan nadanya.

Haziqah menggenggam jari. Mulutnya ditekup kejap. Ketukan dan panggilan yang bertalu-talu dari luar akhirnya diam menyepi. Haziqah terduduk dengan tangannya masih menekup mulut. Bimbang jika Dania terdengar suaranya. Air mata yang cuba ditahan sedari tadi akhirnya tumpah juga.

Haziqah menangis semahu-mahunya. Air mata mengalir laju menandakan apa yang dialaminya kini terlalu berat untuk ditanggung sendirian. Haziqah tidak mampu terus begini. Apa yang sebenarnya terjadi pada aku? Hanya persoalan yang timbul dibenaknya kala ini. Dia sudah berubah. Dia tidak lagi seperti dulu. Kenapa?

Letih menangis, Haziqah membasuh muka. Tudung yang serabai dibetulkan. Haziqah melihat dirinya di cermin. Perlahan-lahan, dia mengukirkan senyuman. Nah. Semuanya sempurna. Seolah-olah tiada apa yang telah berlaku tadi. Haziqah mengenakan cermin matanya semula. Yakin lakonannya sempurna, dia melangkah keluar.

“Awak pergi mana tadi? Kenapa lari? Awak duduk dalam toilet ke?” soal Dania sebaik sahaja terpandangkan kelibat Haziqah.

“Tak ada apalah. Jom, pergi makan. Awak mesti laparkan? Saya pun lapar ni,” jawab Haziqah sambil tersenyum. Hatinya nekad. Walaupun Dania sahabat baiknya, Dania tidak akan tahu isi hatinya. Biarlah rahsia ini kekal rahsia sampai bila-bila.

…hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan…

………lima tahun kemudian………

“Apa lagi alasan awak kali ni, Iqa?” Dania memandang tepat ke dalam anak mata Haziqah yang masih diam membatu.

“Saya tak pernah fikir pun tentang hal ni. Semua ni terlalu mengejut, Dania. Mana boleh paksa-paksa macam ni…”

“Mengejut? Kan ibu awak dah beritahu awak dua bulan lepas? Awak jangan buat hal, Iqa. Kesian dekat ibu,” ujar Dania sambil melepaskan keluhan.

Masuk kali ini, sudah masuk empat rombongan datang untuk menyunting sahabatnya itu. Namun semuanya ditolak bulat-bulat. Hendak dikatakan sudah mempunyai pilihan, mustahil. Selama mereka bersahabat, Dania tidak pernah melihat Haziqah rapat dengan mana-mana lelaki.

Sejak zaman universiti, sampailah sekarang apabila sudah bekerja, Haziqah tidak pernah bercakap tentang mana-mana lelaki yang mencuri perhatiannya. Apabila ditanya, Haziqah lebih senang tersenyum dan menukar topik. Dania kesian melihat makcik Faridah yang terlalu risau memikirkan hal Haziqah. Dania mengeluh berat. Tidak faham dengan pendirian sahabatnya itu.

“Saya tak berminat. Saya sibuk dengan benda lain. Tak kan awak tak faham,” jawab Haziqah perlahan.

“Memang saya tak faham. Iqa, bukan ke awak cakap dulu yang awak akan terima saja sesiapa yang masuk meminang awak bila sampai masanya? Sekarang apa masalahnya?”

“Mana boleh main terima macam tu, Dania. Awak ingat kahwin ni untuk sehari dua ke?”

“Masalahnya, lelaki ni dah cukup sempurna dah. Degree dah dalam tangan. Sekarang buat master. Agama pun mantap. Dengar-dengar kaki masjid. Aktif pulak tu. Walaupun bukan anak dato’ or tan sri, sekurang-kurangnya dia kerja pejabat. Pendapatan tetap. Rupa pun ada. Senang cakap, kalau orang tanya, memang tak segan la nak mengaku suami. Apa lagi yang awak nak?”

“Saya tak kenal dia. Tu yang penting.”

“Tapi dia kata dia kenal awak. Sebab tu dia hantar rombongan. Bukan kahwin terus la Iqa. Dia kata tunang dulu. Tak kira berapa lama awak nak, dia tunggu sampai awak setuju. Kalau tak serasi, tak perlu teruskan.”

“Dia kenal saya? Jangan merepek. Saya tak nak, saya tak nak la!”

“Kenapa?!”

“Sebab saya suka orang lain!”

Dania terdiam. Haziqah cepat-cepat berlalu meninggalkan meja makan. Haziqah tersedak dengan jawapannya sendiri. Aku suka orang lain? Langkahan kakinya dipercepatkan. Kenangan lima tahun lalu bermain-main dalam ingatannya. Tandas! Haziqah harus segera mencari tandas. Sebelum segalanya musnah dan diketahui Dania! Jumpa! Haziqah menolak pintu kayu itu dengan tergesa-gesa. Tiba-tiba…

“Iqa, awak menangis?” soal Dania yang sempat memegang tangan Haziqah.
Haziqah terdiam. Air mata sudah mula merembes keluar. Dia cuba menarik pergelangan tangannya tetapi pegangan tangan Dania terlalu kuat sehingga menyebabkan pergelangannya menjadi merah. Haziqah menyembamkan wajahnya ke tubuh Dania. Buat kesekian kalinya, Haziqah menangis lagi. Dan kali ini dia tidak lagi bersendirian kerana segalanya akan terbongkar disaksikan sendiri sahabat baiknya.

“Saya suka dia, Dania. Saya suka dia,” bisik Haziqah dalam sendu.

“Iqa, kenapa ni? Dia? Siapa?”

“Ustaz.”

“Ustaz??”

“Abang Ustaz.”

Dania kemudian memeluk sahabtanya itu erat. Senyuman yang terukir di bibirnya cuba disembunyikan. Lima tahun. Lima tahun Haziqah cuba menipu mereka semua. Lima tahun juga Haziqah cuba menipu dirinya sendiri. Mungkin jarak dan masa memisahkan kedua-dua insan ini, tetapi hati yang sudah terikat dengan kasih, sukar untuk dibohongi. Akhirnya Haziqah berani mengakuinya. Dania tersenyum.

“Saya tahu, Iqa. Saya tahu.”

“Awak tau?”

“Kami semua tau. Mimi, Fira, Kausar…kami semua tau,” katanya sambil menyapu air mata dipipi Haziqah.

“Tapi macam mana…? Siapa…? Saya tak cakap pun?”

“Bukan semua orang awak mampu tipu, Iqa. Mata dan tindakkan awak menunjukan segalanya. Jangan risau, rahsia hati awak selamat dengan kami. Ustaz sendiri pun tak tau. Saya bangga dengan awak, Iqa.”

“Bangga dengan saya? Kenapa? Awak perli saya?”

“Taklah. Mana ada peril. Saya bangga, sebab awak lebih mengikut kata iman daripada kata hati. Kerana imanlah yang membuatkan awak kuat macam ni. Itulah bezanya awak dengan remaja lain. Awak pendamkan perasaan awak terhadap dia, awak cuba lupakan dia. Sedangkan remaja lain tidak. Mereka zahirkan apa yang mereka rasa. Sehingga mengabaikan batas-batas yang telah ditetapkan agama. Awak kuat, Iqa.”

“Saya suka dia. Saya tak mampu lupakan dia. Saya dah cuba. Saya dekatkan diri dengan Allah, banyakkan ibadah, tapi saya tetap…Dania, saya rasa berdosa.”

“Jangan anggap cinta itu dosa, Iqa. Cinta itukan anugerah. Cinta itu lumrah. Setiap manusia akan merasainya. Tetapi sebagai manusia, sebagai muslim, kita kena tahu batas-batasnya. Awak dah cuba, Iqa. Serahkan saja pada Allah. So, macam mana dengan keputusan awak?”

“Saya tak boleh terima. Selagi saya tak mampu lupakan dia, saya tak akan terima lelaki lain. Saya tak nak melukakan hati orang. Saya harap awak faham, Dania.”

Dania memimpin Haziqah ke arah meja perbincangan mereka tadi. Haziqah sudah terlalu lama menanggung semua ini sendirian. Haziqah sepatutnya memberitahunya. Mereka sudah lama berkawan. Dia pasti akan membantu. Haziqah perlukan sokongan dan sebagai sahabat, itulah yang akan dilakukannya. Menyokong dan mendoakan kebahagiaan Haziqah. Semoga kali ini Haziqah mampu tersenyum lagi.

“Iqa, lelaki tu datang nak jumpa awak,” bisik Dania sambil matanya menghala ke arah seorang lelaki yang segak berbaju melayu hitam.

Lelaki itu duduk membelakangkan mereka. Sesekali terdengar suaranya ketawa melayan seorang perempuan yang agak berusia. Mata Haziqah masih tertancap pada situasi di hadapannya kini. Siapa? Suaranya seperti seseorang. Haziqah memandang Dania yang masih tersenyum. Dania mengangguk lembut.

“Bakal tunang awak,” Dania bersuara perlahan.
Sebaik sahaja mengalihkan pandangan ke arah meja tadi, Haziqah tersentak. Ustaz?!

“Dania?” lirih suara Haziqah meminta penjelasan.

“Saya pun tak sangka. Jangan pandang saya macam tu. Dia bukan berhubung dengan saya. Dia sendiri jumpa ibu dan abah awak. Awak kena percaya dengan janji Dia. Dia kan tak akan mengecewakan kita. Jodoh pertemuan, Dia yang tentukan. Iqa, pengorbanan awak masa belajar dulu tak sia-sia, kan? Sebab awak jaga batas awak, barulah awak dapat lelaki sebaik dia. Dahlah, lama dia dengan mak dia tunggu agaknya.”

Haziqah tersenyum. Tangan Dania di genggam erat. Hatinya mengungkapkan syukur. Benarlah kata orang, manusia hanya merancang, Allah yang menentukan. Mereka yang sibuk bercinta bertahun-tahun, belum tentu akan bersama. Tetapi jika sudah jodoh, tidak perlu bercinta pun boleh bersatu akhirnya.


***

NOTA KAKI OLEH CB

ye, ye. tahu. senior. okay, terpaksa mengaku. YA ALLAH, DASYATNYA CB DULU! ahaha. maaf, bertahanlah bersama karya sem 1 CB ni ye.;P

Tiada ulasan:

Daisypath Anniversary tickers