Isnin, April 19, 2010

Kebahagiaan itu Milik Kita

Najwa menyeka air mata yang mengalir dipipinya. Pedih hatinya saat mencoretkan warkah buat insan tersayang, tidak lagi dipedulikan. Segalanya sudah tersurat. Tiada jodoh antara mereka. Najwa redha akan ketentuan ini. Meskipun hatinya luka berdarah, namun untuk merobohkan masjid yang akan dibina, Najwa tidak sanggup. Kebahagiaan yang dibina hasil daripada penderitaan orang lain, tidak akan kekal selamanya. Biarlah segala-galanya berakhir begini. Najwa pasrah.

Surat biru pemberian Abang Man yang masih kemas disimpan di dalam laci, dikeluarkan. Surat yang sudah terlalu lama disimpan dan dibaca berulang kali. Namun, sejak mendapat berita tentang pertunangan Abang Man dengan gadis pilihan ibubapanya, makin kerap surat itu dibaca. Dia cuba untuk mendapatkan kepastian daripada hatinya yang mula terluka dan berdarah. Sebelum surat balasan yang baru dikarangnya dihantar kepada insan yang berhak, Najwa mengambil keputusan untuk membaca kembali surat biru yang pernah diterimanya suatu masa dahulu.


‘Assalamualaikum W.B.T.
Kehadapan saudari Najwa Mohd. Ridhuwan,

Wa, maafkan Abang Man kerana meluahkan segalanya petang semalam. Abang Man tidak tahu apa yang Abang Man fikirkan ketika itu. Maafkan Abg Man, Wa.

Wa, tujuan Abang Man menulis surat ini bukanlah untuk memaksa Wa menerima abang. Abang sedar, perasaan Wa terhadap abang. Tidak lebih sebagai seorang abang. Abang sedar, mungkin Wa rasa abang keliru dengan perasaan sendiri.

Tapi Wa, abang nak Wa tahu. Abang serius dengan apa yang abang katakan semalam. Abang serius inginkan Wa sebagai teman hidup abang. Abang tahu, segalanya terlalu mengejutkan. Wa pun masih baru mengenali abang. Lagi pun, Wa masih berada di semester 2 manakala abang pula semester 6. Panjang lagi perjalanan kita. Kan?

Wa, abang tak pernah sangka yang abang akan memilih suri hidup secepat ini. Seperti Wa, abang juga punya cita-cita. Abang ada tanggungjawab yang perlu abang tunaikan. Tapi, sepanjang mengenali Wa, mengenali Najwa Mohd. Ridhuwan, hati abang semakin kuat mengatakan bahawa Najwalah suri untuk abang.

Wa, abang tidak minta apa-apa komitmen daripada Wa sekarang. Abang hanya inginkan sebuah persetujuan. Andai Wa bersetuju untuk menjadi suri dalam hidup abang, abang rela menunggu sehingga Wa habis belajar. Jika Wa minta abang menunggu untuk 10 tahun sekalipun, abang akan tetap menunggu. Kerana pada abang, Wa adalah untuk abang.

Setiap detik bersama Wa, membuatkan abang takut untuk kehilangan Wa. Wa melengkapkan hidup abang. Abang tahu, tidak sepatutnya abang berkata begitu, namun, itulah apa yang abang rasa. Wa banyak mengajar abang sesuatu yang baru. Cara Wa melihat dunia, berbeza daripada cara abang memandangnya. Itulah yang membuatkan abang kagum dengan diri Najwa.

Wa, jangan kunci jawapan yang abang harapkan. Abang rela menunggu. Asalkan jawapan yang abang terima ialah ‘Ya’. Sebelum meluahkan segala-galanya semalam, abang sudah berfikir masak-masak. Acap kali juga abang cuba membuang jauh perasaan ini, namun, setiap kali terlihatkan Wa, abang tidak mampu melakukannya.

Wa, maafkan abang…maafkan abang kerana menodai kepercayaan Wa terhadap abang. Abang bersalah kerana menyimpan perasaan terhadap Wa. Wa berhak marah abang, tapi jangan berdiam diri dan membiarkan abang terus dihantui rasa berdosa.

Andai hati Wa bukan untuk abang, andai abang hanya layak sebagai seorang abang sekalipun, abang tetap akan menunggu jawapan daripada Wa. Biarpun jawapan itu bakal memedihkan abang, jujurlah pada diri Wa. Jangan terima huluran perasaan abang, jika Wa rasakan wujudnya keterpaksaan.

Wa, abang tidak akan memberikan masa untuk Wa menjawab surat abang. Kerana Wa boleh mengambil semua waktu yang Wa perlukan. Tapi ketahuilah Najwa, selagi belum menerima jawapan daripada Wa, hati abang hanya untuk Wa. Jika ditakdirkan abang menemui insan lain, abang akan mengirimkan warkah biru lain buat tatapan Wa di sana.

Wa, sebaik sahaja Wa membalas surat abang, sebaik sahaja Wa menjawab pertanyaan abang, abang akan terima segala yang terjadi. Sekiranya Wa terima, Alhamdulillah. Namun, sekiranya Wa tolak, abang redha. Andai perkara itu terjadi, akan abang serahkan hati abang kepada yang lebih berhak. Hati abang walaupun dicuri oleh Wa, akan abang cuba dapatkannya kembali…untuk diserahkan kepada yang bergelar isteri.

Akhir kata, abang tidak pernah meminta untuk dipertemukan dengan insan sebaik Wa. Namun abang bersyukur kerana sempat mengenali siapa Najwa Mohd. Ridhuwan. Wa, Al-Quran ini hadiah daripada abang untuk Wa. Abang beli sewaktu abang belum mengenali Wa lagi. Sudah lama abang ingin menghadiahkannya kepada seseorang. Dan abang ingin Wa memilikinya…walau Wa tidak dapat menerima abang sekalipun, terimalah pemberian abang yang tidak seberapa ini. Sebagai tanda yang Wa pernah mengenali abang.

Yang Benar,

M. Nu’man b. Mohamad.
4.50am, 15 Zulhijjah 1425.


Najwa menyeka lagi air matanya. Nu’man, satu-satunya lelaki yang berjaya membuatkan dirinya berada dalam keadaan serba salah. Juga satu-satunya lelaki yang disayang dan dikasihi. Najwa menangis lagi buat kesekian kalinya. Apalah guna mengakuinya kini? Andai insan yang dicintai kini akan mendirikan rumahtangga dengan wanita lain? Beruntunglah Kak Wan kerana mendapat lelaki seperti Abang Man. Najwa menangis lagi.

Kenapa segala-galanya terlalu lambat? Jawablah duhai hati, mengapa kini baru berani mengakui bahawa dialah insan yang selama ini bertakhta dihati? Kenapa baru kini? Mengapa tidak empat tahun yang lepas? Tiga tahun yang lepas? Atau setahun yang lepas? Bukankah segalanya sudah jelas ketika itu? Bukankah saat menerima surat ‘lamaran’ itu juga segalanya sudah jelas?

Apakah engkau ingin menidakkan perasaan ini? Perasaan untuk dia yang bernama Nu’man? Tetapi, saat diri bersedia mengakui rahsia hati, segala-galanya sudah terlambat. Mana mungkin diri ini sanggup membuatkan Kak Wan menangis. Kak Wan sudah lama bersedih saat menerima berita pertunangan yang diatur keluarga setahun yang lalu. Siapa sangka, Kak Wan yang menjadi tempat luahan perasaan…rupanya pilihan keluarga insan tersayang.

Jika sahaja Kak Wan mengenali siapa ‘dia’ yang sering mengacau bilaukan perasaan teman sebilik ini, pasti pertunangan mereka dulu tidak akan terjadi. Pasti juga masjid yang akan dibina tidak akan berlangsung. Ah…kenapa aku tidak pernah menyebutkan namanya dulu? Daripada cerita Kak Wan, aku yakin, hati Abang Man masih untuk aku. Kerana mereka pernah bertemu empat mata dan berbincang dan dia sendiri mengakuinya.

Kenapa saat Kak Wan menceritakan tentang tunangnya yang masih menantikan jawapan daripada gadis kesayangan, tidak terlintas langsung bahawa ‘Mohd’ dan ‘Man’ adalah orang yang sama? Sudah terlalu banyak peluang yang terbit untuk aku mengenali siapa tunang Kak Wan, namun tidak satu pun berjaya aku tangkap.

Kini, bila Kak Wan sudah bersedia untuk menerima insan baru dalam hidupnya, tegarkah aku melukai dan menghancur lumatkan impiannya? Berkali-kali telinga ini mendengar doa yang Kak Wan panjatkan ketika menunaikan solat. Tangisan syahdu memohon petunjuk daripada Allah S.W.T sewaktu dinihari. Juga keazaman yang seringkali dilafazkan setiap kali kami berkongsi cerita. Kak Wan berazam, untuk menerima bakal suaminya dengan sepenuh hati. Untuk menyayangi dan mencintainya sebagai seorang suami.

Mana mungkin aku lupa, wajahnya yang bercahaya setiap kali kami berbicara soal hati. Wajahnya yang tiada tanda-tanda keterpaksaan itulah yang sering menjadi usikan aku. Sungguh, Kak Wan mengharapkan kebahagiaan daripada perhubungan ini. Kata-kata syukur Kak Wan semasa menceritakan tentang tunangnya masih terngiang-ngiang ditelinga ku.

‘Mohd tu peramah orangnya. Mohd tak lokek dengan senyuman. Mohd tak pernah ketepikan soal agama walaupun nampak biasa. Mohd rajin ke masjid. Mohd selalu ingatkan akak yang hatinya masih untuk gadis kesayangannya sehinggalah gadis itu memberikan jawapan. Mohd anak yang taat kepada ibubapa. Mohd itu, Mohd ini…’

Bertuahnya Kak Wan, memiliki insan sebaik Abang Man. Warkah yang baru dikarangnya pagi tadi direnung lama. Air matanya sudah hampir kering menangisi kesilapan diri. Warkah buat insan kesayangannya itu dibuka perlahan. Najwa ingin membacanya buat kali yang terakhir sebelum menyerahkan sendiri kepada yang berhak petang esok.

Assalamualaikum W.B.T.
Kehadapan insan yang disayangi, Mohd. Nu’man b. Mohamad.

Abg, maafkan Wa kerana membiarkan abang menunggu lama. Bukan niat Wa untuk menyeksa abang, tapi Wa perlukan waktu untuk mencari ayat yang sesuai untuk dikarang buat tatapan abang.

Abang, Wa sudah tahu segalanya. Segalanya tentang pertunangan abang dan Kak Wan. Wa menangis. Menangis kerana gembira akan berita ini. Abang, maafkan Wa sekali lagi, kerana terpaksa mengecewakan abang setelah membiarkan abang lama menunggu jawapan. Wa masih dengan keputusan Wa dulu.

Abang, Wa juga bersyukur kerana dipertemukan dengan abang. Abang tak salah. Kak Wan pun tak salah. Wa yang bersalah…kerana bermain tarik tali. Seharusnya, sejak dari dulu lagi Wa berikan jawapan. Agar kita bertiga tidak terus berada dalam dilemma.

Abang, Wa kenal Kak Wan dah hampir 2 tahun. Semua perasaan Kak Wan, Wa tahu. Dan Wa tahu yang Kak Wan ikhlas menerima abang…walaupun dia tidak pernah beritahu. Abang, Wa tak layak untuk abang. Siapalah Wa, untuk menerima perasaan abang. Siapalah Wa untuk menjadi insan kesayangan abang.

Abang, terimalah Kak Wan seadanya. Dia lebih layak untuk abang. Jika abang beranggapan bahawa Wa baik, Kak Wan berganda-ganda lagi. Berilah Kak Wan peluang untuk menyayangi abang sebagai seorang kekasih. Sebagai seorang suami. Kak Wan bertuah kerana memiliki abang sebagai suami…begitu juga abang, bertuah memilikinya sebagai isteri.

Suat yang Wa tulis ini bukanlah seperti apa yang abang harapkan. Juga bukan seperti apa yang Wa rancangkan. Mujur Kak Wan ada menyimpan gambar pertunangannya dulu. Jika tidak, mungkin Wa akan melakukan satu kesalahan besar tehadap kalian berdua. Apa yang pernah terjadi, anggaplah sebagai kenangan kita. Buanglah Wa daripada hati abang, kerana Wa bukan untuk abang. Sudah ditakdirkan, tiada jodoh antara kita. Walau air mata darah sekalipun kita tangisi, segalanya sudah tersurat dan tidak mungkin akan berubah.

Sekali lagi Wa minta maaf pada abang. Kerana kelewatan suart ini. Wa doakan abang dan Kak Wan bahagia hingga ke akhir hayat.

Najwa Mohd. Ridhuwan,
9.15am, 17 Rejab 1429.


Deringan telefon mematikan lamunan Najwa. Surat biru itu dilipat kemas. Jam menunjukkan tepat pukul 5 petang. Ah…lamanya diri ini mengelamun. Najwa pantas menyeka air mata dan berdehem beberapa kali sebelum berlari mendapatkan telefon.

“Hello, assalamualaikum,” sapa satu suara. Siapa ya? Najwa berkira-kira untuk bertanya.

“Sorry lambat jemput. Lupa betul. Jangan lupa petang esok, ya? Abang datang ambil Wa dekat rumah. Tunggu tau,” kata lelaki itu selamba.

“Abang Man? Abang Man ke ni?” ada getaran dalam nada suara Najwa.

“Abang Man laaa…siapa lagi…? Ke, Wa tunggu abang lain?” usik Nu’man sambil tergelak kecil. Ceria suaranya…tidak seperti Najwa yang hampir kehilangan suaranya kerana terlalu banyak menangis.

“Tapi kenapa, abang? Kenapa call Wa lagi…?” Najwa bersuara lirih.

“Kenapa, Wa? Salah ke abang jemput Wa? Wa kan…” mati kata-kata Nu’man sebaik sahaja mendengarkan suara Najwa yang bergetar.

“Wa menangis ke? Menangis sebab abang lewat beritahu ye? Sori Wa…abang,” bicaranya mati lagi.

“Abang, sudahlah. Segalanya dah berakhir. Tiada apa lagi yang boleh Wa harapkan dari abang…” Najwa berjauh hati. Rasa berdosa terhadap Kak Wan kerana berbicara dengan orang yang tidak sepatutnya.

“Apa yang Wa cakapkan ni? Kisah kita belum pun bermula. Macam mana nak berakhir? Dah la…cukup-cukuplah menangis tu. Nanti mata jadi macam Flower Horn, tak naklah abang bawa pergi majlis. Buat malu pengantin je…” Nu’man bersuara riang. Getaran dan nada suara Najwa meyakinkan Nu’man akan cerita yang disampaikan Wan Aisyah.

“Abang! Tak faham-faham ke, atau buat-buat tak faham?! Abang tu dah nak jadi suami, suami kepada insan sebaik Kak Wan! Jangan lukakan hati Kak Wan, abang. Mesti Kak Wan kecewa kalau tahu,” tegas Najwa bersuara. Kini dirinya nekad. Lelaki itu bukan untuknya. Tetapi untuk insan bernama Wan Aisyah Bt. Wan Ahmad.

“Hati Kak Wan…hati abang macam mana, Wa? Hati Wa?” soal Nu’man mengorek rahsia yang sudah terlalu lama disimpan Najwa. Disimpan bersama hatinya yang telah dicuri suatu ketika dulu.

“Sudahlah, abang. Wa sedar salah Wa. Wa terlewat menyedarinya. Tapi semuanya sudah tak berguna. Wa doakan abang dan Kak Wan berkekalan ke akhir hayat.”

“Dan biarkan Mohd. Norman kecewa? Macam tu, Najwa? Biarkan abang jadi perampas kebahagiaan kembar sendiri?” pintas Nu’man menyerang balas.

“Apa ni? Apa yang abang cakap ni? Wa pening,” Najwa bersuara lemah. Tidak larat untuk terus bermain teka-teki.

“Wa, we need to talk. There are so many things I want to tell you. Not now. Not through the phone. Family Man akan datang rumah Wa minggu depan. Bincang tentang kita. Tapi sebelum tu, Man nak kita jumpa dulu. Bukan berdua. Tapi berempat. Wa, Man, Mohd dan Wan. Salah faham ini perlu dirungkaikan. Lepas tu, baru kita bincang tentang majlis kita,” beritahu Nu’man tanpa penjelasan lanjut.


Epilog
Najwa tersenyum melihat gambar-gambar persandingannya dengan suami tercinta. Ya, kini sudah hampir tiga bulan dirinya bergelar isteri. Isteri kepada lelaki yang amat disayangi dan dicintai. Mohd. Nu’man b. Mohamad. Siapa sangka, salah faham yang timbul selama ini akhirnya berjaya menyatukan dua hati yang saling menyayangi. Najwa bahagia. Bahagia kerana apa yang berlaku sebelum ini benar-benar menguji kasihnya terhadap Nu’man.

Seperti yang dirancangkan, seminggu selepas perkahwinan kembar Nu’man, Norman dengan Kak Wan, mereka duduk berbincang empat mata. Salah faham yang terjadi bukanlah salah sesiapa. Menurut Norman, sebenarnya memang Wan Aisyah itu pilihan keluarganya untuk Nu’man. Tapi ketegasan Nu’man untuk terus menunggu ‘buah hati’nya menyebabkan mereka beralah. Norman yang ketika itu, memang menaruh hati kepada Wan Aisyah menjelaskan segalanya kepada ibubapanya dan mereka menyambutnya gembira.

Walaupun satu universiti, entah kenapa Najwa tidak pernah terserempak dengan Norman. Patutlah kawan-kawan Nu’man selalu tersalah panggil Nu’man dengan nama Norman. Najwa tergelak kecil mengenangkan ketidakprihatinannya. Menurut Norman lagi, ketika bertemu dengan Wan Aisyah bertemankan adik Wan Aisyah dan makciknya, dia yakin dengan pilihan hatinya. Penampilan Wan Aisyah yang bertudung labuh, sempurna pada pandangannya. Tetapi, dia tidak mahu Wan Aisyah menerimanya kerana ketaatan kepada kedua orang tua semata-mata. Dia ingin Wan Aisyah menerimanya kerana dirinya.

Entah bagaimana, boleh terkeluar cerita Nu’man menunggu gadis kesayangannya. Norman menggunakan cerita saudara kembarnya yang masih setia menunggu ‘kekasih hati’ untuk melihat reaksi Wan Aisyah. Norman juga berharap, dengan kisah ini Wan Aisyah tidak akan terbeban untuk membuat keputusan. Sempat juga Norman menegaskan bahawa jika ada jodoh antara mereka, ‘gadis’ yang dimaksudkan itu akan dibuang jauh daripada lubuk hatinya. Katanya lagi, dia bersedia untuk menyayangi dan mencintai insan yang akan menjadi isterinya kelak, iaitu Wan Aisyah.

Barulah muncul episode-episod drama air mata selepas itu. Itulah pertemuan pertama dan terakhir Wan Aisyah dengan Norman. Masing-masing berpegang teguh kepada ketentuan Allah. Andai itu jodoh mereka, segalanya akan berjalan dengan lancar. Pegangan agama yang kuat kedua-dua keluarga membuatkan mereka sentiasa menjaga batas selagi belum sah bergelar suami isteri. Segalanya berjalan seperti yang dirancangkan sehinggalah tiba hari bahagia kedua mempelai. Saat menjelaskan segala kerumitan yang timbul, mata Najwa sempat menangkap senyuman bahagia insan yang dipanggil Kak Wan itu.

Setiap kali mendengarkan halangan-halangan yang terpaksa dihadapi Norman sebelum bergelar suaminya yang sah, Wan Aisyah tersenyum. Sesekali kedengaran tawa kecilnya. Najwa tersenyum gembira. Kak Wan bahagia dengan kehidupan barunya. Layanan Norman yang lembut dan penuh kasih sayang membuktikan kebahagiaan yang sedang mereka kecapi. Segalanya sudah jelas kini. Kak Wan juga memohon maaf kerana tidak dapat memberitahu sendiri perkara tersebut.

Kak Wan tahu segala-galanya seminggu sebelum pernikahan mereka. Ketika itu Najwa sedang sibuk merawat hatinya yang luka. Melarikan diri daripada bertemu dengan Wan Aisyah sedangkan ketika itu, Wan Aisyah sudah berkira-kira untuk menceritakan semua yang terjadi.

Melihatkan keadaan Nu’man dan Najwa yang sama-sama dalam kekeliruan, Wan Aisyah membuka rahsia hati Najwa yang sudah pun dianggap seperti adik sendiri. Barulah Nu’man yakin untuk berbincang dengan ibabapanya sekaligus menetapkan tarikh untuk bertemu keluarga Najwa. Biarlah hubungan antara mereka lebih bererti dengan adanya ikatan yang sah.

Memang itupun yang telah lama diharapkan Nu’man. Sebelum segal-gala kekeliruan ini terjadi. Sebelum Norman mula merisik Wan Aisyah dan sebelum Najwa mengenali Wan Aisyah. Ketika itu Najwa dan dirinya masih terlalu muda dalam mentafsir soal hati dan perasaan. Ketika Najwa menerima warkah biru darinya, iaitu empat tahun yang lalu.

Surat yang tidak sempat diberikan kepada Nu’man telah pun selamat dibaca olehnya seminggu selepas bergelar suami isteri. Tidak sudah-sudah Nu’man mengejek dan mentertawakan ‘kekecewaan’ Najwa ketika itu. Walaupun penat diketawakan, Najwa tidak kisah. Najwa tidak mampu untuk marah kerana dia juga geli hati apabila memikirkannya semula. Asalnya Najwa ingin membuang surat itu, namun dihalang Nu’man. Kenangan cinta katanya. Itulah satu-satunya tanda kasih mereka kerana mereka memang tidak pernah bercinta. Masing-masing berpegang teguh dengan kenyataan bahawa tiada istilah cinta sebelum kahwin menurut Islam.

Najwa menutup kembali album kenangannya. Nu’man yang leka mengemas rumah tidak sedar dirinya diperhatikan. Najwa tersenyum. Rajin Nu’man membantunya menyiapkan persiapan menyambut kedatangan Kak Wan dan Norman. Lama tidak berjumpa, rindu rasanya terhadap Kak Wan. Tidak sabar juga untuk bermain dengan si kecil Amir. Najwa bangun menghampiri suaminya. Segalanya terjawab kini. Najwa bahagia kerana dipertemukan dengan jodoh sebaik Nu’man. Tangan suaminya dipegang erat dan Nu’man membalasnya mesra. Inilah kebahagiaan yang diimpikan. Kebahagiaan ini milik mereka.

***

NOTA KAKI OLEH CB

wah! penat gila edit okay! bukan edit cerpen, tapi edit format. baru tahu...yang dalam microsoft word tak boleh copy paste terus masukkan dalam blog! oh tidaaak. KESIAN CB. T^T

sori cerita jiwangs. ni karang masa sem 1...baru2 angau dekat sorang senior. sekarang dah sem 4 nak masuk 5. sangatlah kanak2 okay, bila baca balik. hehe. CB mintak maaf! ;)

Tiada ulasan:

Daisypath Anniversary tickers