“Mia benci! Mia benci ummi! Ummi selalu marah Mia! Apa sahaja yang Mia buat, ummi mesti tegur! Dengar radio salah, tengok tv pun salah! Mia tak nak duduk rumah ummi dan abang lagi! Mia nak balik rumah papa dan mama!” bentak Mia Sarah. Pintu biliknya dihempas sekuat hati.
Mia Sarah menangis semahu-mahunya. Hatinya sebal dimarahi dihadapan abang. ‘Sukalah tu, tengok aku kena marah! Aku benci!’ ngomel Mia Sarah sambil mengesat air mata. Bilik yang pernah dihuni dulu, kini seolah-olah tidak membawa apa-apa makna pada Mia Sarah. Sejak berumur 5 tahun, ummi dan papanya berpisah. Dan sejak itulah Mia Sarah tinggal bersama papa dan mama barunya.